...

cute

Wednesday, April 28, 2010

.::renungan bersama::.


Marah adalah salah satu sifat mazmumah (tercela, terkeji, terhina) yang tidak sepatutnya ada pada seorang muslim mukmin. Justeru usaha untuk mengelakkan diri dari sifat marah menjadi satu kewajipan. Sifat marah yang wajib dibuang dari diri seseorang ialah sifat marah yang dilarang. Tidak semua sifat marah dilarang, ada kalanya wajib kita marah dan terkadang diharuskan kita marah. Kemampuan kita mengurus kemarahan akan membawa kita kepada situasi yang tenang dan membahagiakan.

Sifat marah dari sudut hukum boleh dibahagikan kepada tiga bahagian:
1. Marah yang dipuji - Perasaan marah dituntut apabila berlakunya pencabulan dan perlanggaran terhadap larangan-larangan ALLAH S.W.T. Sifat ini adalah hasil dari keimanan yang kuat terhadap ALLAH SWT kerana orang yang tidak marah terhadap pencabulan dan perlanggaran larangan ALLAH dianggap sebagai orang yang lemah iman.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia ubah dengan tangan (kekuasaan) sekiranya tidak mampu ubah dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu juga maka ubah dengan hati, itulah selemah-lemah iman.”

Sikap untuk mengubah, menegur atau rasa tidak suka tidak akan timbul pada diri seseorang sekiranya tidak ada perasaan marah terhadap sesuatu perkara. Kecantikan Islam dalam marah ialah apabila kita dapat mengurus sifat marah dengan cara hikmah dan bijaksana bukan dengan cara mengikut perasaan dan nafsu seperti memaki hamun, mencerca, memukul atau tindakan-tindakan yang negatif.

2. Marah yang dicela – Perasaan marah yang dilarang dan dicela ialah apabila marah terhadap pelaksanaan perintah ALLAH SWT atau marah yang didorong oleh perasaan dan hawa nafsu seperti marah dan tidak suka dengan pelaksanaan hukum-hukum ALLAH SWT, marah dengan usaha dakwah, marah dengan pelaksanaan syiar Islam dan lain-lain. Sifat marah dalam kategori ini dicela dan dilarang kerana ia sifat orang-orang kafir yang sentiasa tidak suka dan tidak senang apabila orang mengamalkan dan menghayati Islam. Mereka menunjukkan perasaan mereka dengan menunjukkan rasa marah apabila ajaran-ajaran Islam diamalkan dalam kehidupan manusia.

3. Marah yang diharuskan - Marah yang diharuskan ialah marah yang tidak melanggar perintah ALLAH SWT dan tidak melampaui batasan. Sebab itulah orang yang dapat mengawal perasaan ini disukai oleh Allah swt seperti marah apabila tidak tahu perkara yang sepatutnya diketahui, marah apabila tidak melakukan pekerjaan dengan baik dan lain-lain.

Firman ALLAH SWT maksudnya, “Dan orang yang mengekang kemarahan dan memberi kemaafan kepada orang lain, dan Allah suka kepada orang-orang yang baik.”
Kesimpulannya, wajib marah apabila hak ALLAH dilanggar, haram marah apabila hak-hak agama dilaksanakan dan harus marah pada perkara-perkara berkaitan kehidupan dengan syarat tidak melampaui batasan dan berakhlak bertujuan untuk memperbaiki kekurangan yang ada.

Ibnu Hibban menyatakan manusia sentiasa bertentangan antara marah dan kelembutan, siapa yang marah dengan kelembutan tidaklah dicela selama marahnya tidak dilarang. Manusia dari sudut kekuatan sifat marah ada tiga peringkat, iaitu:

Pasif : Orang yang tiada perasaan marah, hilang dari dirinya sifat marah.

Agresif: Orang yang pemarah, baran, tidak mampu dikawal oleh akal dan agama, hilang kewarasan diri ketika marah.

Moderet: iaitu pertengahan, orang yang dapat mengawal perasaan marah menggunakan akal dan agama.

Tips Membendung Kemarahan

Diantaranya ialah:

1. Membaca ta’awudz yaitu, “A’uzubillahi minasyaitaanir rajiim.”

2. Mengingat besarnya pahala orang yang mampu menahan kemarahannya.

3. Mengambil sikap diam diri, tidak bercakap.

4. Duduk atau berbaring.

5. Memikirkan betapa hodohnya penampilannya apabila sedang dalam keadaan marah.

6. Mengingat betapa besarnya balasan bagi orang yang memaafkan kesalahan orang lain.

7. Meninggalkan berbagai bentuk celaan, makian, tuduhan, laknat dan cercaan kerana semua itu termasuk perangai orang-orang bodoh dan jahil.


Renungan; Sekiranya kita dapat mengurus kemarahan kita, mengikut pertimbangan akal dan agama, marah tanpa menyebabkan orang lain sakit hati atau rasa dianiaya, sedia menerima kekurangan orang lain dan memaafkan kesilapan orang lain, hati kita akan tenang dan bahagia.

No comments:

Post a Comment

music

Tumblr Blogger SCM Music Player